Wednesday, April 21, 2010

PANDANGAN BERDASARKAN KANDUNGAN ARTIKEL

1.0 Pengenalan

Komputer merupakan suatu alat elektronik yang telah menjadi satu keperluan pada zaman kini. Komputer digunakan di mana-mana sahaja seperti pejabat, pasar raya, lapangan terbang, bank, rumah, sekolah dan sebagainya. Manusia semakin hari amat bergantung pada komputer untuk mempertingkatkan produktiviti dan kecekapan.
Kemampuan penggunaan komputer yang tinggi akan menjamin peningkatan produktiviti yang tinggi juga dan membawa maksud kecekapan atau kemampuan menggunakan peralatan elektronik secara menyeluruh yakni dari segi teknikal dan pembangunannya serta bijak menggunakan perisian, pangkalan data, laman web dan lain-lain lagi pada tahap kemahiran yang tinggi kerana dapat menjanjikan daya pengeluaran yang memberangsangkan. Secara langsung penggunaan komputer yang tinggi dalam bidang pendidikan dan beberapa bidang yang terpilih dapat mempertingkatkan produktivitiserta proaktifnya seseorang terhadap komputer.


2.0 Kepentingan Teknologi Terhadap Bidang Pendidikan

Menurut Zakaria Kasa (2003), penggunaan komputer dalam pendidikan terbahagi kepada tiga komponen, iaitu pengurusan, pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan. Komponen pengurusan meliputi aplikasi dalam belanjawan, simpanan rekod, komunikasi dan mengumpul maklumat di sekolah dan di dalam bilik darjah. Komponen pengajaran dan pembelajaran dibahagikan kepada pengajaran berpusatkan guru dan pembelajaran berpusatkan pelajar. Komponen penyelidikan pula meliputi aplikasi dalam menganalisis statistik dan pengumpulan maklumat yang menyumbang kepada pengajaran dan pembelajaran.



Menurut Howell (1971), kepentingan penggunaan komputer dalam bidang pendidikan mendatangkan kesan yang amat positif serta dapat mempertingkatkan kualiti dan pencapaian. Keberkesanan pengajaran berbantukan komputer dapat memberikan maklumat dan rangsangan tambahan tentang perkara yang telah disampaikan oleh guru di kelas. Dapatan kajian menunjukkan bahawa, walaupun terdapat sedikit halangan, sikap pelajar secara umumnya terhadap bahan berkomputer adalah baik. Banyak pelajar mendapati bahawa bahan berkomputer telah memberikan manfaat kepada mereka. Terdapat di kalangan murid yang mempunyai sikap positif terhadap bahan berkomputer dan berkemampuan pula mengemukakan cadangan kepada rakan mereka yang lain.

Daimond, Theimer dan Charp (1971) pula mendapati cetusan yang serupa dengan kajian Howell. Pelajar yang mempelajari bahasa Inggeris menggunakan bahan berkomputer telah menunjukkan kesan yang lebih memberangsangkan berbanding dengan kumpulan yang menggunakan kaedah pengajaran tradisional. Kumpulan pelajar yang belajar berbantukan komputer telah lebih berjaya mempertingkatkan pengetahuan mereka dalam bahagian pemahaman dan perbendaharaan kata.

Hess dan Tenezakis (1973) telah membuat perbandingan dengan memberikan pengajaran berbantukan komputer kepada sejumlah 189 pelajar di sekolah menengah rendah dalam pelajaran matematik. Kumpulan yang mengalami pengajaran berbantukan komputer merasakan bahawa komputer mampu menyampaikan maklumat dengan berkesan kerana pengajaran berbantukan komputer lebih adil, jelas dan mudah.

Menyedari hakikat bahawa bagi mencapai wawasan negara menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini, kita harus bersaing di peringkat global dan bertindak seiring dengan perkembangan era baru teknologi maklumat. Komitmen kerajaan ke arah era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah diterjemahkan dengan pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC), kewujudan Institusi Sistem Mikro Elektronik Malaysia (MIMOS), pembentukan Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Taman Teknologi Malaysia dan penubuhan Universiti Multimedia.
Di sampiing itu, pelaksanaan projek sekolah bestari dianggap sebagai pemangkin wawasan negara kerana matlamat pelaksanaannya adalah selaras dengan agenda pembangunan negara, iaitu untuk menjadikan pendidikan di Malaysia bertaraf dunia. Pelaksanaan sekolah bestari bermula pada Januari 1999 di mana 90 buah sekolah telah menjadi perintis kepada projek sekolah bestari dan pada masa yang sama menjadi model kepada sekolah-sekolah yang lain. Hasrat kerajaan menjelang tahun 2010 menjadikan kesemua 10 000 buah sekolah di negara ini menjadi sekolah bestari secara berperingkat-peringkat.

Fokus utama sekolah bestari ialah penumpuan terhadap pembelajaran berlandaskan kemahiran berfikir dan penggunaan komputer dalam pendidikan di sekolah. Sekolah bestari menggunakan sepenuhnya peluang memperkembangkan ilmu dan budaya pemikiran dalam pengajaran dan pembelajaran secara cekap dan berkesan melalui rangkaian dan teknologi multimedia. Pendidikan tradisional selama ini yang berasaskan kebolehan membaca, menulis dan mengira (3M) merupakan tiang seri pendidikan. Memandangkan besarnya pengaruh teknologi maklumat terhadap manusia di era maklumat ini, maka wajar pendidikan hari ini dilengkapi dengan satu lagi literasi baharu, iaitu literasi teknologi maklumat.
Ketika ini penggunaan komputer dalam bidang pendidikan merupakan sesuatu yang tidak dapat dipisahkan lagi sama ada di sekolah, institusi pengajian tinggi, jabatan pelajaran negeri dan juga Kementerian Pelajaran Malaysia, termasuklah agensi dan badan-badan lain yang berkaitan dengan pendidikan di negara ini. Keterampilan penggunaan komputer yang tinggi adalah antara elemen yang menjadi kayu ukur kepada kualiti perkhidmatan serta kecekapan dan keberkesanan sesebuah institusi pendidikan itu.
Di sekolah, keterampilan guru menggunakan komputer yang diintegrasikan pula dengan pemilihan bahan multimedia yang baik dapat menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Antara kelebihan pengajaran berbantukan komputer dalam pendidikan di sekolah termasuklah :

(i) Komunikasi maklumat yang efektif.

Dengan menggunakan multimedia, pelbagai bentuk maklumat dapat disampaikan dengan berkesan dan menarik. Contohnya ialah penggunaan grafik dapat memenuhi objektif ini.

(ii) Format interaktif dan merangsang.

Keistimewaan sistem multimedia adalah dapat menerima tindak balas berbentuk teks atau suara yang dimasukkan melalui mikrofon oleh pelajar. Aplikasi yang dapat bertindak sebagai sahabat pelajar ini dapat merangsangkan proses pembelajaran bagi memindahkan pengetahuan yang lebih bermakna.

(iii) Pengekalan informasi yang berkesan.

Penggunaan multimedia yang membekalkan pelbagai jenis maklumat, dalam pelbagai bentuk, media dan pendekatan dapat membantu dalam pembentukan corak ingatan yang lebih kompleks dan seterusnya memudahkan proses capaian maklumat dilakukan dengan berkesan dan kekal dalam ingatan.

(iv) Membolehkan pelajar belajar mengikut keperluan sendiri.

Pembelajaran berbantukan komputer membolehkan pelajar mencapai maklumat mengikut minat, keupayaan dan kehendak hati sendiri. Ini memberi peluang kepada pelajar untuk belajar mengikut keselesaan masing-masing dan cara yang digemari oleh mereka.




(v) Menggalakkan pembelajaran kendiri

Dengan menggunakan perisian multimedia pendidikan, pembelajaran secara individu yang peka kepada keperluan pelajar dapat disediakan dengan mudah. Pelajar berasa seolah-olah sedang berhadapan dengan seorang guru peribadi dalam proses pembelajaran kendiri. Ini dapat membantu meningkatkan keyakinan diri serta menghapuskan perasaan malu yang wujud dalam diri pelajar.

(v) Memenuhi stail pembelajaran pelajar.

Bahan multimedia berupaya menyediakan persekitaran pembelajaran yang berbentuk pelbagai pancaindera dan sesuai untuk manusia yang mempunyai berbagai-bagai gaya pembelajaran dan tahap kognitif.

(vi) Meningkatkan minat dan motivasi pelajar.

Menggunakan komputer semasa mengajar dan belajar dapat meningkatkan semangat atau motivasi untuk terus belajar dan mencuba sesuatu yang baharu. Sekiranya minat dan motivasi pelajar dirangsang, proses pembelajaran akan lebih mudah dilaksanakan. Sekolah yang cemerlang sering diukur dari segi pencapaian pelajarnya yang cemerlang. Pelajar akan mendapat kecemerlangan sekiranya guru berketerampilan dalam mengintegrasikan teknologi komputer dengan mata pelajaran yang disampaikan kerana kemampuan kaedah ini sudah terbukti ada kelebihan-kelebihannya.






2.3 Isu Dan Cabaran Pengintegrasian Teknologi Di Dalam Bidang Pendidikan.

2.3.1 Infrastruktur Ict Dan Komunikasi Sekolah

Untuk menjayakan pelaksanaan integrasi teknologi informasi dan komunikasi dalam P & P, kemudahan-kemudahan dan peralatan-peralatan ICT perlu disediakan dengan secukupnya. Pada masa kini terdapat banyak sekolah yang tidak ada kemudahan ini terutamanya di sekolah rendah jenis kebangsaan. Kerajaan telah membekalkan peruntukan yang cukup untuk sekolah kebangsaan tetapi masih ada sekolah kebangsaan yang menghadapi makmal komputer yang telah siap dibina tetapi tidak dapat digunakan. Mengikut kajian masih terdapat 800 buah sekolah di luar bandar tidak ada bekalan elektrik. Masalah pembekalan kuasa elektrik di kawasan luar bandar perlulah diselesaikan dahulu.


2.3.2 Pengendalian Makmal Komputer

Masalah-masalah mengekalkan kelancaran penggunaan makmal komputer perlu diambilberat. Ini termasuk membaiki komputer yang rosak, pembaruan versi sistem aplikasi peranti dan versi perisian. Selain daripada itu, kesepaduan sistem komputer dan perisian yang digunakan di sekolah dengan KPM, PPD juga perlu diambilberat. Pada masa kini sekolah-sekolah selalu menghadapi masalah-masalah menggabungkan data-data yang diminta oleh PPD, JPN seperti pendaftaran UPSR, Analisis Pencapaian UPSR, SSDM ( Hem ) dan Emis. Terdapat juga perisian yang dibekalkan oleh KPM tidak dapat digunakan oleh komputer sekolah. Murid-murid yang tidak mengikut arahan semasa menggunakan peralatan ICT adalah punca utama kerosakan peralatan komputer.





2.3.3 Soal Etika Dan Perundangan

Penggunaan peralatan komputer seperti perisian cetak rompak dan melayari laman web yang diharamkan merupakan isu-isu yang hangat dipertikaikan oleh orang ramai. Guru-guru yang tidak bertanggungjawab mungkin menggunakan peralatan ICT ini untuk kerja peribadi sendiri atau mengguna komputer semasa bertugas. “ Komputer thief “ sengaja atau tidak sengaja dilakukan oleh mereka susah dapat dikawal. Didapati juga mereka yang mengguna komputer pejabat untuk “download” data-data seperti lagu dan wayang dari Internet. Perundangan-perundangan Internet masih didapati masih tidak berupaya untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan. Ramai penjenayah masih menggunakan kepincangan perundangan internet untuk menjalankan perkara haram. Malahan kebimbangan ibubapa yang takut anak-anak mereka melayari laman web lucah sering juga disebut-sebutkan.


2.3.4 Program-Program Pembangunan Staf

Program-program dan kursus-kursus pembangunan staf dalam ICT telah dianjurkan oleh PPD, JPN atau KPM. Guru-guru yang telah menghadiri kursus ini mungkin tidak ditugaskan dalam bidang ICT. Ini merupakan sesuatu pembaziran.


2.3.5 Sikap Guru Besar, Guru, Murid, Ibubapa Dan Masyarakat Luar Terhadap Ict

2.3.5.1 Guru Besar Sendiri

Guru Besar yang merupakan pengurus sekolah sepatutnya adalah orang yang pertama harus mempunyai pandangan positif terhadap penggunaan komputer dalam kerja sehari-harian. Guru Besar harus terlebih dahulu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan pengalaman dalam penggunaan komputer dalam pengurusan dan pentadbiran di sekolah. Selain itu, konsep sekolah bestari harus diaplikasikan secara optimum oleh Guru Besar di sekolah agar murid-murid akan memperolehi faedah dan sekolah pula tidak akan ketinggalan zaman dan terus maju dalam bidang teknologi.


2.3.5.2 Guru-Guru

Guru merupakan pengasuh murid-murid di sekolah. Guru memainkan peranan menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Seseorang guru itu haruslah mempunyai literasi komputer dan maklumat dan sentiasa bersikap mengejar pengetahuan ICT dan maklumat yang terkini. Kemahiran tinggi yang dimiliki oleh guru dalam literasi komputer boleh menjamin pencapaian keberkesanan ketika proses pengajaran dan pembelajaran.


3.0 Masalah Penggunaan Teknologi Di Dalam Bidang Pendidikan.

Masalah yang pertama adalah sikap guru yang kurang yakin dengan teknologi maklumat dan masih selesa dengan cara pengajaran secara tradisional serta sering membuat alasan bahawa peralatan komputer tidak mencukupi dan kurang latihan dalam menyepadukan teknologi maklumat dalam proses pengajaran. Jika digunakan dalam pengajaran hanya pada tahap yang rendah sahaja seperti pemprosesan perkataan dan latih tubi. Teknologi maklumat tidak diintegrasikan sepenuhnya dengan kurikulum yang diajar. Keyakinan guru terhadap penggunaan komputer yang rendah juga memberikan impak yang kurang baik terhadap kepenggunaan peralatan ini.

Masalah yang berikutnya adalah ketidakdapatan perisian dan tapak web yang sesuai dengan kurikulum pendidikan di negara ini. Kekangan masa dan juga kurang kemahiran merencatkan kreativiti guru untuk menyediakan bahan multimedia yang mampu menarik minat pelajar. Sesetengah guru dan juga pelajar menghadapi masalah bahasa kerana bahan yang terdapat dalam internet dan perisian adalah dalam bahasa Inggeris.

Masalah yang berikutnya adalah peralatan komputer amat sensitif dan mudah rosak jika tidak diuruskan dengan baik. Penggunaan secara maksimum segenap peralatan dan perisian oleh pelajar terutamanya mungkin boleh menyebabkan kerosakan. Kos pembaikan pula adalah tinggi kerana sekolah tidak dibekalkan dengan juruteknik untuk menyelenggarakan peralatan ini. Untuk mengelakkan kerosakan, guru-guru mungkin cuba mngehadkan penggunaan peralatan tersebut kepada pelajar.


4.0 Kesimpulan

Jelaslah kepada kita bahawa penggunaan komputer tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia pada hari ini. Walaupun kos yang dikeluarkan untuk mengadakan peralatan komputer, latihan penggunaan serta penyelenggaraannya tinggi tetapi ternyata pelaburan ini adalah menguntungkan. Kejayaan sesuatu bidang meningkatkan kualiti pengurusan, keberhasilan bidang-bidang tertentu mengaut keuntungan atau meningkatkan produktiviti masing-masing banyak bergantung kepada keterampilan penggunaan komputer di kalangan penggunanya.

Kemudahan ICT sudah menjadi satu keperluan dalam banyak bidang tugas pada masa ini. Kesungguhan bagi memastikan tiada yang ketinggalan daripada kemudahan dan perkembangannya telah ditunjukkan oleh semua pihak sama ada diperingkat pembuat dasar mahupun dipihak pelaksana. Pendek kata, komputer amat diperlukan dan mampu melakukan segalanya untuk manusia pada zaman kini.
Kesimpulannya, bahawa penggunaan komputer dalam bidang pendidikan secara berketerampilan dapat memberikan kesan yang positif dan memberangsangkan serta menjamin peningkatan kualiti pencapaiannya serta pelajar yang berkualiti dalam bidang pendidikan.

1 comment:

  1. ICT banyak kegunaannya jika digunakan dengan baik. Sebaliknya ia juga merosakkan kita. Jadi dari persepsi apakah kita menggunakannya.

    ReplyDelete